Persatuan Kebajikan Hal Ehwal Wanita Islam

Persatuan Kebajikan Hal Ehwal Wanita Islam

25 September, 2011

Kelas Jahitan Komuniti Mendapat Sambutan

Sesi Mengukur Panjang Baju
25 September 2011 - 'Walaupun hujan sanggup ku redah...' Hari ini memang hujan lebat di awal pagi iaitu kurang 20 minit sebelum kelas jahitan bermula pada jam 10.00 pagi.  Namun, disebabkan ilmu yang hendak dipelajari amat penting, pelatih kelas jahitan komuniti sanggup juga datang ke kelas yang diadakan.
Sesi Mengukur Lengan
Alhamdulillah, kelas jahitan komuniti telah berjaya diadakan sebanyak 3 kali selepas sambutan Eidul Fitr 1432.  Walaupun tidak ramai yang hadir, kami mengambil pendekatan positif kerana kita masih lagi di dalam bulan Syawal.  Masih terdapat rumah terbuka di sana sini.
Melukis Pola
Jom! Kita belajar menjahit.  Hanya RM70 sebulan untuk jahitan asas.  Murah tu. Kita akan diajar mengukur dan menjahit kaedah butik.

13 Ogos, 2011

Pelancaran Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Ma’ahad Hamidiah, Kajang Sempena Toyota Eco Youth Challenge, 2011

8 Ogos 2011 - Pelancaran Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak kali ini adalah hasil usahasama HELWANI Ampang dan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Program atas inisiatif sekumpulan pelajar sekolah, yang menggelar diri mereka ‘Sa-te Green Rangers’ beserta beberapa orang guru, adalah sempena pemilihan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Ma’ahad Hamidiah di dalam pertandingan Toyota Eco Youth Challenge, 2011 anjuran Toyota. Ini merupakan langkah awal pihak Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengutip dan membeli sisa minyak masak daripada sumber-sumber seperti komuniti-komuniti, restoran-restoran, medan-medan selera, kantin-kantin dan pasar-pasar malam di sekitar Kajang dan Bangi untuk menjayakan projek penghasilan bio-diesel mereka.
Gimik pelancaran program kitar semula sisa minyak masak

Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak ini juga merupakan yang pertama kali dilancarkan di dalam kawasan Hulu Langat dan ia melibatkan bukan sahaja warga sekolah, malahan komuniti taman perumahan berhampiran. Pada program ini, taklimat kesedaran telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Professor Madya Dr. Zahira Yaakob dari ‘Department of Chemical & Process Engineering’, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semoga program yang serupa dapat dilancarkan di lain-lain komuniti di dalam kawasan Hulu Langat.

Masa  : 7.20 pagi
Lokasi : Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Ma’ahad Hamidiah, Kajang

Kelas Jahitan Komuniti

6 Ogos 2011 - Kelas jahitan komuniti anjuran bersama HELWANI Ampang, Penggerak Belia Tempatan MPAJ, Zon 4 dan Badan Pengurusan Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana akan mula beroperasi pada 6hb Ogos, 2011. Kelas jahitan komuniti ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya, tidak terhad kepada penduduk di Ukay Perdana sahaja.

Tujuan kelas jahitan komuniti ini diadakan adalah untuk memberikan asas-asas jahitan kepada para peserta, di mana selain untuk manfaat diri sendiri, ilmu yang diperolehi juga boleh digunakan untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Adalah menjadi harapan pihak penganjur, kelas jahitan komuniti ini akan mendapat sentiasa mendapat sambutan daripada orang ramai bagi memastikan ianya berterusan.

Masa  : Ahad  : 10.00 pagi – 1.00 tengahari
Lokasi : Bilik Mesyuarat Badan Pengurusan Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana

Gotong Royong Pembersihan Sungai Gombak

Contohilah aktivis muda ini
30 Julai 2011 - HELWANI Ampang telah dijemput untuk turut serta di dalam aktiviti gotong royong pembersihan kawasan perkelahan di sepanjang hulu Sungai Gombak, bermula dari Kem Rabutia membawa hingga ke muka sauk Puncak Niaga Sdn Bhd. Gotong royong anjuran UMW Toyota ini juga melibatkan agensi-agensi lain iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Alam Flora Sdn Bhd di samping penyertaan Komuniti Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam serta pelajar-pelajar Kuala Lumpur Metropolitan University-College (KLMU). Dianggarkan lebih kurang 50 orang sukarelawan telah terlibat di dalam gotong royong ini.

Pelbagai sisa pepejal yang dikutip
Sukarelawan yang terlibat dengan gotong-royong bersih sungai
Tujuan gotong royong ini diadakan adalah untuk mengekalkan kebersihan kawasan hulu Sungai Gombak daripada sampah sarap yang dibuang oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, yang sememangnya terkenal sebagai tapak perkelahan dan perkhemahan sejak sekian lama. Sampah sarap seberat 200 kilogram telah berjaya dikutip pada hari tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada plastik, kertas pembalut makanan, tin minuman dan styrofoam.  


Masa  : 9.00 pagi – 1.00 tengahari
Lokasi : Hulu Sungai Gombak, Batu 13, Jalan Lama Gombak – Bentong

Taklimat Dan Pelancaran Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya, Ampang

25 Julai 2011 - Sempena program Sekolah Lestari anjuran Jabatan Alam Sekitar Selangor, guru-guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya telah melancarkan program Kitar Semula Sisa Minyak Masak sebagai langkah awal di dalam usaha menghijaukan persekitaran sekolah.

Gimik pelancaran oleh YDP  PIBG, Pelajar &
Pengerusi HELWANI Ampang


Pengerusi HELWANI Ampang, Puan Muhaidatul Ismah Bt Ismail, telah dijemput untuk memberikan taklimat tentang program berkenaan. Program anjuran bersama Persatuan Ibubapa dan Guru serta HELWANI Ampang ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Siva Subramaniam.
Program ini bakal dikembangkan ke komuniti-komuniti di sekitar sekolah oleh para pelajar.

Masa   : 7.30 pagi – 8.30 pagi
Lokasi  : Dataran Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya, Ampang

Lawatan Green Rangers Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang Ke Tapak Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak

15 Julai 2011 - Seramai 3 orang guru penasihat dan 5 orang pelajar, yang menggelar diri mereka The Green Rangers dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, Kajang, telah dibawa melawat oleh wakil HELWANI Ampang ke salah satu tapak Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak, iaitu Surau Nurul Ehsan, Taman Desa Keramat.

Sesi penerangan program kepada  Penasihat Green Rangers oleh
Jawatankuasa Surau Nurul Ehsan
Tujuan lawatan Green Rangers ini adalah untuk mengetahui dengan lebih dekat perjalanan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak di dalam sesebuah komuniti. Ini bersempena penglibatan mereka di dalam pertandingan Toyota Eco Youth Challenge, 2011, di mana mereka akan mempertandingkan projek Kitar Semula Sisa Minyak Masak, mewakili negeri Selangor.
Penerangan tentang perjalanan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak telah diberikan oleh wakil muslimat, Surau Nurul Ehsan serta wakil HELWANI Ampang sendiri.

Masa   : 3.30 petang – 4.30 petang
Lokasi  : Surau Nurul Ehsan, Taman Desa Keramat

Upacara Menandatangani ‘Letter Of Intent’ Dengan Universiti Kebangsaan Malaysia

13 Jun 2011 - Upacara menandatangani ‘Letter of Intent’ yang telah berlangsung di antara HELWANI Ampang dan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia, adalah merupakan usahasama kedua-dua belah pihak di dalam melaksanakan Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak yang meliputi kawasan Kajang dan Bangi.

Sesi perbincangan dan menandatangani LOI
HELWANI Ampang telah diwakili oleh Yang Berbahagia Puan Pengerusi, Puan Muhaidatul Ismah Bt Ismail, sementara Universiti Kebangsaan Malaysia diwakili oleh Professor Madya Dr. Zahira Bt Yaakob. Di dalam usahasama ini, HELWANI Ampang berperanan menyampaikan taklimat kesedaran ‘memelihara sumber air melalui Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak’ kepada komuniti-komuniti yang berada di sekitar Kajang dan Bangi. Sementara pihak Universiti Kebangsaan Malaysia pula akan mengutip sisa minyak masak yang terkumpul untuk diproses semula menjadi bio-diesel.

Masa    : 2.30 petang – 4.30 petang
Lokasi  : Bilik mesyuarat, Fakulti Kejuruteraan
              Universiti Kebangsaan Malaysia

Hari Kitar Semula Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana

14 Mei 2011 - Program anjuran bersama Badan Pengurusan Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana ini bertujuan bagi:


1) Mengumpul sisa buangan pepejal, seperti barang plastik, kertas terpakai, kotak, suratkhabar, tin, besi dan aluminium bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat serta bebas daripada wabak penyakit.
2)  Menggalakkan orang ramai agar rajin bersedekah (bagi yang beragama Islam) atau memberi sumbangan.
3)  Mewujudkan komuniti yang ceria, peramah dan saling bantu membantu di antara satu sama lain.

Antara sisa pepejal yang dikumpul
Hasil jualan barangan kitar semula tersebut akan disalurkan ke surau-surau serta pertubuhan-pertubuhan kebajikan.  Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada penduduk yang telah memberikan sumbangan berupa barangan kitar semula pada hari tersebut.


Masa   : 9.00 pagi – 4 petang
Tarikh  : 14hb Mei, 2011


12 Ogos, 2011

Taklimat 'Solar Farming' dan 'Rain Water Harvesting‘

Taklimat program disampaikan oleh
Professor Datuk Dr. Kamaruddin Bin Mohd Noor, 

Pensyarah Kanan, Universiti  Kuala Lumpur

20 April, 2011  -   Demi menyahut seruan kerajaan ke arah pembangunan teknologi hijau, HELWANI telah menganjurkan taklimat berkenaan penjanaan elektrik melalui penuaian tenaga solar (matahari) dan juga mengitar semula air hujan. Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada badan badan pengurusan pangsapuri dan ahli-ahli jawatankuasa surau di sekitar Ukay Perdana, Ampang, kaedah-kaedah penjimatan tenaga (elektrik dan air) sekaligus dapat mengurangkan kos pengurusan bangunan pangsapuri dan surau. Taklimat berakhir kira-kira pada pukul 12.00 tengah malam.


Masa     :     9.30 malam

Lokasi   :     Bilik Mesyuarat, Badan Pengurusan Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana


15 Mac, 2011

Program Penceriaan Sungai

YB Dr. Lo'Lo' merasmikan Program Penceriaan Sungai

 13 Mac, 2011 - Program Penceriaan Sungai anjuran bersama Jawatankuasa Penduduk, MPAJ, Zon 5 dan HELWANI, Ampang telah dirasmikan oleh Yg. Berhormat Dr. Lo’Lo’ Bt Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa. Objektif utama program adalah untuk menanamkan semangat cintakan dan menghargai sungai yang merupakan sumber air terpenting di dalam kehidupan harian manusia. Aktiviti-aktiviti yang berlangsung pada hari program tersebut termasuklah pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta yang bersangkut paut dengan air iaitu Lembaga Urus Air Selangor, Indah Water Konsortium, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Aktiviti-aktiviti lain adalah gerai-gerai jualan oleh pengusaha-pengusaha wanita dan taklimat kesedaran pencemaran sumber air oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor.
Skuad Qua Qua bergambar bersama
Ahli Majlis MPAJ, Zon 5











Masa   : 9.00pagi – 3.00petang
Lokasi  : Pusat Khidmat Komuniti, Bukit Antarabangsa

30 Disember, 2010

Seminar Penggunaan Produk Halal

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Kelang 19 Disember 2010 - Seramai 30 peserta telah hadir mengikuti seminar yang telah berlangsung selama setengah hari.  Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran tentang unsur-unsur makanan dan pemakanan yang tidak halal, syubahah dan pemakanan tidak sihat yang terdapat dalam pasaran.  Jika dinilai dari isi kandungan seminar berkenaan, hampir 85% makanan yang terdapat di pasaran sekarang mengandungi unsur-unsur ini.


Di antara masalah-masalah yang terdapat dalam pasaran adalah :
a. produk-produk campuran MSG
b. ayam dan daging sembelihan tidak mengikut syarak, 
c. kaedah penyediaan makanan yang tidak islamik
d. kawasan kilang yang kotor dan jijik
e. campuran bahan-bahan mentah terlarang di dalam makanan
f.  dan lain-lain lagi.


Ustaz Ahmad Tajudin bin Arshad
Seminar ini telah dianjurkan bersama oleh Helwani Ampang dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Kelang.  Pihak penganjur telah menjemput Ustaz Hj. Ahmad Tajudin dari Islamic Manufacturing Practice (IMP) atau IMP Community yang telah bermurah hati memberi ceramah kepada para peserta.  Terima kasih, Ustaz! Banyak ilmu yang kami peroleh.


Cenderahati disampaikan oleh Pengerusi Helwani Ampang
IMP merupakan sebuah syarikat pengeluar barangan halal yang berpengkalan di Kuala Kangsar. Bukan itu saja, IMP juga memberi ceramah mengenai produk halal dan juga ceramah-ceramah agama.   

IMP Community 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai isi kandungan seminar ini, sila hubungi HELWANI AMPANG melalui facebook.



14 November, 2010

Helwani Ampang Supports Stop Child Abuse Campaign

Come and join us to support the "Raise Your Hands, Stop Child Abuse Campaign" by UNICEF.  They required 100,000 people to support the campaign.  Appreciate your cooperation to circulate and inform this campaign to relatives and friends.  For further information, please click the link below.  Thanks.










- Chairwoman

06 November, 2010

Kelas Masakan Siri 1/2010

6 November 2010 (Surau Sri Baiduri) - Seramai 15 orang peminat masakan telah menghadiri kelas masakan ini.  Pada kali ini, juru masak Cik Hana telah mengajar resepi masakan Ayam Berkicap Tomato, Bendi Tumis Udang Kering dan Puding Sejuk.

Beri perhatian penuh
Peminat masakan telah diberi peluang untuk mencuba sendiri cara memasak (hands-on).  Melalui kaedah ini, mereka boleh mendapat pengalaman terus semasa pembelajaran.  Helwani mengamalkan konsep memajukan ahlinya ke hadapan.  Ahli-ahli boleh berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing sebab ilmu yang datangnya dari Allah SWT adalah untuk semua orang.


Ayam Berkicap Tomato
Bendi Tumis Udang Kering
Terdahulu, Helwani telah mengeluarkan notis pemakluman kelas masakan pada 29 Oktober 2010.  Kelas masakan akan datang dimaklum kemudian.